Monday, 23 May 2011

Teori Keperluan Maslow(Perdagangan Tingkatan 4)

Maslow melihat individu sebagai sesuatu yang berintergrasi dan penyusuan keseluruhan. Contohnya, seorang insan yang lapar, ianya bukan sebahagian daripada diri individu tersebut, sebaliknya keseluruhan diri individu menunjukkan rasa lapar. Teori Maslow ini ada berkaitan dengan personaliti, dan menitikberatkan beberapa andaian yang berkaitan dengan motivasi. Beliau menekankan keseluruhan diri individu bergerak, bukan hanya sebahagian daripada individu.
Maslow menganggap motivasi sebagai sesuatu yang kompleks, dimana tingkah laku luaran yang diperlihatkan oleh manusia. Beliau juga menganggap, individu akan terus bermotivasi oleh kerana sesuatu matlamat. Matlamat ini dianggap sebagai keperluan yang perlu dipenuhi oleh semua manusia tanpa mengambil kira budaya, persekitaran dan perbezaan tahap generasi.
Personaliti yang dibincangkan oleh Maslow lebih kepada keperluan individu. Maslow sering mengaitkan perkembangan personaliti dengan motivasi. Motivasi lahir dari keperluan yang diperolehi oleh setiap individu. Maslow berpendapat sebilangan keperluan dalaman yang menggerak serta mengarahkan perlakuan yang dipamerkan oleh individu. Keperluan yang ditunjukkan oleh Maslow boleh dilihat dalam bentuk hieraki.
Keperluan Fisiologi
Keperluan manusia paling asas adalah untuk hidup. Manusia perlukan udara, air, makanan, tempat tinggal dan tempat belajar bagi bagi memenuhi kehendak pertama dan utama ini. Kata lain, apa-apa sahaja yang diperlukan untuk diri atau fizikal seseorang. Sebagai contoh, pelajar kurang zat makanan dan pelajar tersebut tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas semasa guru menerangkan di depan. Maka, guru tersebut perlu beri perhatian dan ambil berat kepada tanda-tanda kekurangan fizikal ini.
Keperluan Keselamatan
Setelah keperluan pertama dicapai, manusia akan mencari keselamatan hidup, kestabilan kerja, jagaan masyarakat sekeliling, undang-undang serta membebaskan diri daripada ancaman luaran mahupun dalaman. Tahap keselamatan ini amat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan hidup. Ianya merupakan keperluan lumrah bagi setiap yang bernyawa. Sebagai contoh, keselamatan di dalam kelas, makmal sains mahupun di padang ketika bersukan. Hal ini penting kerana pelajar akan merasa lebih selamat dan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.
Keperluan Sosial
Dalam memenuhkan keperluan sosial pula, manusia perlukan hubungan dengan insan lain. Kita semua pada asasnya ialah haiwan yang bersosial, iaitu kita perlukan kasih sayang daripada orang lain. Oleh itu manusia ini sememangnya tidak boleh wujud bersendirian. Dalam konteks dalam kelas pula, pelajar akan berasa terganggu atau emosi jadi tidak stabil jika kelas berlaku pertengkaran apatah lagi jadi tegang apaabila dimarahi guru. Jadi, perlunya hubungan baik dan mesra antara pelajar dan antara pelajar dengan guru.
Keperluan Penghormatan
Tahap seterusnya adalah kehendak untuk penghormatan. Kita mahu berkuasa, sekurang-kurangnya ke atas diri kita sendiri. Pada masa yang sama, kita juga perlukan kekuatan, kebolehan, kepakaran serta kebebasan. Seterusnya manusia ingin dihormati, disanjungi dan kehendak status dalam hidup. Bagi seorang pelajar pula, ianya berkaitan dengan penerimaan oleh orang lain terhadap diri seseorang pelajar lain. Penerimaan rakan sebaya penting untuk rasa tidak tersingkir. Justeru itu, penerimaan guru sangat penting untuk membina keyakinan diri. Apabila diterima oleh rakan-rakan, pelajar tersebut dapat berinteraksi secara positif di dalam kumpulan. Apa yang guru dapat lakukan untuk memastikan supaya tahap ini dipenuhi adalah dengan menyediakan aktiviti yang membolehkan mereka berdamping dan saling mendampingi antara satu sama lain.
Keperluan Pencapaian Hasrat Diri
Akhir sekali usaha manusia yang teragung adalah untuk mencapai hasrat diri. Semua tahap kehendak sebelum ini perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang itu inginkan hasrat diri atau kesempurnaan kendiri. Ianya berkaitan dengan apa yang seseorang itu boleh jadi dan ia mesti jadi iaitu potensinya dilahirkan. Jadi guru hendaklah memberi ruang kepada pelajar untuk memenuhi keseluruhan kendirinya. Sebagai contoh, kebebasan memilih aktiviti kokurikulum diminati. Selain itu, guru perlu sediakan rancangan belajar yang bebas dan fleksibel serta wujudkan sesi bimbingan supaya pelajar tidak ‘sesat’ dalam mengejar apa yang dihajati.
Hubungan antara Teori Keperluan Maslow dengan Insentif dan Ganjaran
Pembelajaran
Kalau kita teliti secara mendalam, kesemua tahap keperluan Maslow adalah sangat berkaitan rapat dengan langkah untuk mewujudkan insentif dan ganjaran pembelajaran. Perlu kita ingat, sebagai guru kejayaan seseorang pelajar memerlukan insentif dan ganjaran di rumah dan di sekolah. Jadi, apakah peranan seorang guru? Guru hendaklah mempelbagaikan insentif dan ganjaran supaya motivasi pelajar untuk belajar meningkat.
Dari segi terminologi, insentif bermaksud peransang, penggalak dan pendorong dan stimulasi kepada seseorang untuk mencapai sesuatu matlamat atau sasaran. Ganjaran pula bermaksud sebagai hadiah (untuk perbuatan baik dan lain- lain). Erti kata lain, insentif dan ganjaran adalah alat penggerak kepada perlakuan untuk membangkitkan tindakan-tindakan ke arah positif. Selain itu, ia juga sebagai alat untuk meningkatkan motivasi pelajar atau guru dan untuk menghargai serta mengiktiraf ke atas sumbangan mereka di peringkat sekolah ataupun di peringkat yang lebih tinggi. Antara contoh insentif yang boleh dilaksanakan di sekolah ialah pasukan pidato sekolah akan diberi insentif makan percuma KFC jika mendapat Johan di peringkat gabungan atau negeri selain daripada insentif asas yang lain. Selain daripada itu, pelajar-pelajar yang dapat meningkatkan pencapaian peperiksaan, mereka akan dinaikkan ke kelas yang lebih baik. Kemudian, guru boleh juga sediakan insentif alternatif seperti pelajar yang tidak pernah ponteng sekolah akan diberikan kemudahan meminjam buku lebih di perpustakaan. Semua insentif di atas akan memenuhi keperluan pertama dan kedua dalam Teori Keperluan Maslow.
Manakala ganjaran yang dapat disediakan oleh pihak sekolah atau guru itu sendiri terbahagi kepada ganjaran sosial, ganjaran simbolik, dan ganjaran kewangan. Ganjaran sosial yang dimaksudkan adalah seperti pujian lisan, surat penghargaan, ucapan terima kasih, hadiah, berjabat salam, pujian, diminta pendapat, kata-kata dorongan dan lain-lain. Manakala ganjaran simbolik adalah pemberian yang memberi nilai dan makna kepada penerimanya.

Jangan Persiakan Usia Muda....

JANGAN PERSIAKAN USIA MUDA….
Nikmat usia muda jangan dipersiakan. Itulah pesan bijak pandai. Umur muda hanya datang sekali, sekejap pula tu. Jadi, usia muda perlu direbut sepenuhnya untuk mencapai kejayaan hidup, di dunia dan akhirat. Banyak kelebihan usia muda yang tidak dapat dinikmati ketika usia tua.
Ketika usia muda jiwa lebih bersemangat dan waja. Kata orang tua, darah muda mudah mendidih. Itu bukti semangat yang membara mudah untuk melakukan apa sahaja. Namun perlu berhati-hati, semangat membara itu perlu diarahkan kepada kebaikan. Banyak orang rosak hidupnya bermula ketika usia muda.
Justeru, amat penting ketika usia muda diisi dengan kehidupan yang mendatangkan kebaikan. Di kalangan kita ramai yang beranggapan sebaliknya. Kononnya, usia muda peluang untuk enjoy. Segala-galanya dirasakan hebat. Ketika usia muda masih belum ada tanggungjawab mengurus keluarga. Jadi, apa sahaja yang ingin dilakukan diteruskan tanpa berfikir panjang.

Malah ada yang berkata, masa muda peluang untuk melakukan apa sahaja tanpa memikirkan dosa dan pahala. Mereka berpendapat amat rugi jika pada usia muda tidak melakukan perbuatan dosa (maksiat hawa nafsu). Nanti tiada pengalaman. Apabila usia tua baru hendak cari pengalaman, tidak mungkin lagi sehebat usia muda.
Biasalah apabila sudah tua tidak berpeluang lagi untuk melakukan seperti orang muda. Ketika usia tua nafsu sudah kurang menyengat. Tambahan pula malu kepada anak cucu. Apa kata orang nanti, rumah kata pergi, kubur kata mari. Masa tua dikaitkan dengan masa hendak bertaubat. Masa tua ketika melakukan lebih banyak ibadat, hendak kumpul banyak pahala sebagai bekalan di akhirat.
Inilah silapnya kebanyakan anak muda kita. Soal dosa pahala dibuat main-main. Mereka lupa mati tidak menunggu usia tua baru berlaku. Banyak kita temui orang yang mati ketika usia muda. Seperti setandang kelapa, ada yang gugur ketika masih putik, masa muda, dan ada sampai ke tua.
Kita tidak boleh menduga sampai bila kita dapat hidup. Banyak kawan dan jiran kita yang masih muda telah mati. Sekarang ini ramai orang muda mati akibat kemalangan, penyakit berbahaya, dan tidak kurang akibat kesalahan sendiri seperti penagihan dadah yang membawa kepada penyakit Aids.
Tambahan pula, akibat dosa lebih mudah orang muda menemui maut. Perbuatan dosa memang berbahaya. Sebab itu agama menegahnya. Islam mengharamkan umatnya melakukan perbuatan mendatangkan mudarat kepada diri sendiri dan orang lain. Larangan adalah bertujuan untuk kebaikan, bukannya menghalang kebebasan.
Jiwa muda yang bersemangat dan waja perlu dipacu ke arah kebaikan. Jangan tunggu usia tua baru ingin berusaha. Teori mengatakan usia lelaki bermula pada usia 40 tahun adalah dusta yang direka-reka untuk melekakan manusia.
Hakikatnya, usia 40 sudah tiba masa menuai hasil, bukan baru hendak bermula. Memang kita dapati ramai orang mula beroleh kejayaan dalam hidup seperti mendapat pangkat, harta dan kedudukan yang baik apabila usia hampir atau melebihi 40 tahun.
Ini bermakna untuk berjaya memerlukan usaha yang lama. Mereka yang berjaya mungkin telah berusaha sejak usia awal 20an sebaik selepas tamat pengajian, iaitu lebih kurang 20 tahun. Silapnya kita, usia 40 tahun baru nak mula berusaha bersungguh-sungguh. Bilakah agaknya baru berjaya? Adakah ketika usia 60 baru hendak berjaya? Rasanya dah lewat benar.
Tegasnya, kita jangan bertangguh lagi. Jalan memulakan kejayaan bermula sekarang. Masa tidak boleh diundur ke belakang, biarpun kita merasakan telah terlewat. Terlewat lebih baik daripada tidak mula langsung.
Jika dihayati betul-betul, berusaha cara betul membuatkan kita rasa enjoy. Berkerja dan beribadat juga enjoy. Hidup diisi dengan perkara berfaedah. Kepuasan akan lahir apabila kita menghargai masa dan beroleh apa yang diusahakan. Kebaikan yang dilakukan adalah santapan rohani paling lazat.
Individu yang membazirkan masa dengan berhibur, lepak, dan melakukan perbuatan dosa sebenarnya lapar jiwanya. Kegembiraan apa yang dilakukan sekadar nampak di luar. Hakikatnya mereka menanggung derita batin. Orang melakukan perbuatan ditegah agama tidak akan menikmati kebahagiaan hidup. Kita perlu sedar, hidup ini hanya sementara. Maut boleh datang menjemput kita bila-bila masa. Individu Muslim merasakan mati sentiasa hampir dengan dirinya. Sebab itu mereka bersegera melakukan kebaikan. Takut tidak dapat mengumpul bekalan yang cukup untuk tergolong mereka berboleh keuntungan di akhirat nanti.
Di akhirat nanti, orang yang masuk syurga merasa menyesal kerana tidak melakukan lebih banyak pahala untuk tinggal di tingkat syurga lebih baik. Di syurga nanti ada banyak tingkat yang disediakan kepada hamba berbeza-beza jumlah amalan yang dibawa.
Bayangkan, jika penghuni syurga merasa menyesal tidak melakukan lebih banyak amalan baik ketika hidup di dunia, apatah lagi keluhan mereka yang dicampakkan ke neraka. Setelah ajal datang, tidak ada lagi peluang untuk melakukan kebaikan. Jadi, ketika nyawa masih di badan inilah peluang untuk melakukan kebaikan.
Tugas kita di dunia ini memang banyak. Kata As Syahid Hasan al-Bana: ?Kerja kita lebih banyak dari masa yang ada.? Masa yang ada tidak mencukupi. Jadi, individu yang membazirkan masa sebenarnya tidak tahu menghargai masa. Mereka tidak tahu merebut masa yang dikatakan lebih bernilai daripada emas.
Masa muda amat berharga. Masa untuk kita melakukan kebaikan, bukan keburukan. Sebenarnya, tidak ada sedetikpun masa untuk keburukan, melainkan individu yang berjaya dilalaikan oleh syaitan. Syaitan menyuruh manusia melakukan keburukan. Itu sumpah syaitan.
Sesiapa tidak ingin jadi pengikut syaitan, maka dia perlu melakukan kebaikan. Kebaikan perlu dilakukan sepanjang masa. Bukan tunggu masa tua. Masa muda tenaga masih kuat. Lebih banyak kebaikan dapat dilakukan ketika muda berbanding masa tua. Sebab itu, di akhirat nanti Allah tanyakan tentang waktu muda ke mana dihabiskan. Ini membuktikan masa muda amat penting digunakan untuk kebaikan. Kita dapat hidup pada usia muda, tetapi belum tentu sampai masa tua.
Masa muda memang banyak cabaran. Sebab itu Rasulullah banyak memberi peringatan kepada golongan muda. Banyak hadis menyebut keistimewaan pemuda (juga pemudi) yang melakukan ibadat. Mereka juga diingatkan menghindarkan diri daripada maksiat.
Rasulullah amat memberi perhatian kepada golongan muda sebagai tonggak kekuatan dakwah. Sebilangan besar sahabat Rasulullah terdiri daripada orang muda, dan ada yang masih di peringkat usia kanak-kanak.
Nama-nama sahabat yang terkenal mula dibimbing oleh Rasulullah sejak usia muda. Antaranya Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam yang kedua-duanya berumur lapan tahun, Thalhah bin Ubaidillah (11), al-Arqam bin Abi al-Arqam (12), Abdullah bin Masud (14), dan Saad bin Abi Waqqash (17).
Rasulullah sedar potensi diri golongan muda. Golongan muda memiliki kesemua keistimewaan. Kemuncak keupayaan manusia adalah pada usia muda (sekitar usia 20 hingga 40 tahun). Malah Allah memilih usia sekitar 30 tahun sebagai usia penghuni syurga. Semua penghuni syurga akan berusia sekitar 30 tahun, biarpun ketika mati di dunia telah berusia lanjut.
Jadi, jangan persia-siakan usia muda. Carilah bekal ilmu, pengalaman, kekayaan, amalan baik dan sebagainya ketika usia muda. Umpamanya, masa muda merupakan masa terbaik mencari ilmu. Akal orang muda masih cerdas.
Keadaan kesihatan orang muda masih berada di tahap terbaik. Tahan cabaran untuk menuntut ilmu seperti lama berada di bilik kuliah, membuat rujukan, berjaga malam, menghafal dan sebagainya. Masa muda mampu bergerak ke sana ke mari untuk menuntut ilmu. Sebahagian besar pula belum lagi berumahtangga.
Bagaimanapun, ini tidak pula bermakna orang tua tidak perlu lagi menuntut ilmu. Proses menuntut ilmu berlangsung sepanjang hayat. Menuntut ilmu pada usia tua lebih kepada pengukuhan ilmu yang telah diperoleh ketika usia muda. Amat sukar jika pada usia tua baru hendak mula.
Justeru, kepada golongan muda, pergunakan masa yang ada untuk kebaikan. Jangan mudah dilalaikan dengan godaan dunia yang sementara. Ingatlah, kehidupan kekal adalah di akhirat nanti.

Belajar Tentang Hutan...

JOM MASUK HUTAN....
Hutan merupakan tumbuhan semula jadi yang begitu bernilai dari segi ekonominya. Hutan adalah harta atau khazanah bagi sesebuah negara. Keperluan manusia terhadap hutan juga begitu penting dari banyak aspek.
Manusia memerlukan kayu-kayan dari hutan untuk mendirikan rumah, membuat perabot dan sebagainya. Umumnya tumbuh-tumbuhan di hutan adalah sangat penting kepada manusia.
Penerokaan hutan telah lama dilakukan dan sehingga kini masih berterusan dilakukan oleh manusia. Terdapat beberapa sebab dan kepentingan masyarakat Melayu dahulu masuk ke hutan. Penerokaan atau penebangan balak tidaklah merupakan perkara yang penting pada masa lampau. Namun demikian terdapat juga orang berusaha ke arah itu, hanya sekadar untuk kegunaan membina rumah, tetapi apa yang lebih penting dalam penerokaan hutan ialah untuk mencan damar, rotan, buluh serta akar-akar kayu dan menangkap ikan juga berburu binatang.
Umumnya tujuan manusia ke hutan pada masa dahulu adalah sekadar untuk memenuhi keperluan asas sahaja. Usaha mencari damar yang dilakukan adalah bertujuan untuk mendapatkan cahaya dari damar tersebut. Selain itu bahan tersebut juga boleh dijual untuk kegunaan pembuatan sarung peluru. Semasa zaman penjajahan British dahulu damar dibeli untuk dieksport ke luar negeri.
Selain mencari damar, masyarakat dahulu juga memasuki hutan untuk mencari rotan serta buluh. Rotan pada masa itu bukanlah untuk tujuan industri. Rotan digunakan bagi membuat alat-alat perumahan dan alat-alat lain untuk kegunaan umum. Buluh pula digunakan untuk membuat bubu atau lukah dan sebagainya.
Masyarakat Melayu pada zaman dahulu juga ke hutan untuk mencari petai, jering, umbut, keladi dan sebagainya. Kesemua bahan ini menjadi makanan kepada manusia. Masyarakat dahulu juga menganggap hutan sebagai punca untuk mendapatkan bahan-bahan perubatan. Akar-akar kayu dan lain-lain mudah diperoleh dari hutan rimba tempatan. Bahan yang diperoleh dari hutan ini adalah penting kepada manusia untuk ramuan membuat ubat.
Penerokaan manusia ke dalam hutan juga dilakukan bertujuan menjerat atau memburu binatang. Berbagai-bagai ikhtiar dilakukan oleh manusia untuk memperolehi sesuatu daripada hutan.
Dengan kata Iain manusia memang tidak dapat mengelakkan dirinya daripada hutan. Di dalam meneroka hutan belantara ini, manusia haruslah mempunyai berbagai petua yang patut dipatuhi demi menjaga kesejahteraan mereka ketika berada di dalam hutan.
KEPERCAYAAN BERHUBUNG DENGAN HUTAN
Umumnya manusia menganggap hutan sebagai tempat tinggal berbagai-bagai jenis binatang liar, jin dan jembalang. Warisan pemikiran masyarakat Melayu dikuatkan dengan beberapa dakwaan yang kononnya jika tidak mengikut adat atau tertib ke hutan, seseorang yang meneroka hutan akan ditimpa kesulitan seperti sesat di dalam hutan atau diresapi kuasa ghaib dan sebagainya.
Selain daripada menjadi tempat tinggal kumpulan syaitan, hutan juga merupakan daerah tempat pemasungan hantu. Dalam masyarakat Melayu, pawang adalah orang yang disegani. Kawasan hutan yang belum diterokai juga dianggap keras dan mempunyai berbagal-bagai rahsia dan kerenah yang tersendiri. Oleh itu kawasan-kawasan ini jika hendak diterokal haruslah melalui adat-adat yang tertentu. Maka atas anggapan dan kepercayaan ini, masyarakat Melayu pada masa dahulu telah membuat beberapa peraturan yang dikenali sebagai adat ketika berada di hutan.
Seperti disebutkan tadi, hutan rimba merupakan daerah atau tempat tinggal berbagai jenis binatang yang berbahaya kepada manusia. Binatang-binatang seperti ayam hutan, kambing gurun, badak sumbu dan sebagainya dikatakan mempunyai badi. Sekiranya seseorang cuba menembak binatang tersebut, maka dipercayai ‘badi’ binatang itu akan menghinggapinya. Manusia yang terkena badi biasanya akan ditimpa kesulitan seperti sakit meracau, gila dan sebagainya.
Sebagai jalan untuk mengelakkan manusia yang pergi ke hutan daripada terkena badi tersebut, maka beberapa peraturan tertentu diwujudkan. Peraturan inilah yang dikenali sebagai adat ke hutan.
PERATURAN UPACARA
Bahan-bahan tempatan diperlukan bagi tujuan melaksanakan adat atau petua ke hutan ini. Bahan-bahan kegunaan harian seperti Iimau nipis, daun kelapa, bertih adalah keperluan asas yang penting.
Di dalam perlaksanaan adat ini bahan-bahan seperti limau nipis, telur, bertih, sirih sekapur, kemenyan dan penunggal diperlukan. Bahan-bahan tersebut perlu disediakan untuk upacara sajian pada peringkat permulaan melaksanakan adat ini.
Kegunaan terhadap bahan-bahan ini ditentukan oleh pawang.
ADAT PERMULAAN KE HUTAN
Masyarakat Melayu mengamalkan adat dan petua tertentu untuk menjamin kesejahteraan manusia sejagat. Mereka percaya ia adalah suatu perkara yang baik dan patut diamalkan. Terdapat beberapa adat yang masih terus kekal hingga ke hari ini.
Bagi adat permulaan ke hutan, beberapa peringkat harus dilakukan demi mendapat kesejahteraan yang sewajarnya. Adat ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian tertentu. Pengenalan adat atau permulaan ke hutan ini akan dilakukan oleh mereka yang akan ke hutan.
PEMILIHAN HARI
Masyarakat Melayu masih lagi mempercayai kelebihan sesuatu hari bagi melakukan sesuatu upacara. Bulan atau hari yang dikira dalam hal ini ialah mengikut tahun Hijrah. Hari yang kurang baik untuk masuk ke hutan ialah hari Selasa akhir bulan Melayu, dan tujuan berkenaan haruslah dielakkan.
Hari yang baik untuk melakukan upacara seumpama ini ialah hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Hari-hari tersebut dipercayai mendatangkan manfaat yang lebih. Waktu yang baik bagi melaksanakan adat ini ialah pada sebelah pagi.
Pada peringkat permulaan jika seseorang itu hendak ke hutan, dia perlu menjemput pawang untuk melaksanakan adat sajian itu.
Upacara adat sajian ini diadakan sebagai suatu persembahan kepada penunggu hutan. Sebuah dulang yang telah dilsikan dengan segala peralatan yang berkaitan perlu disediakan.
Apabila segala peralatan tersebut telah disediakan, maka pawang akan menjampinya. Ini bertujuan menghalau atau menjauhkan hantu dan segala bahaya yang ada di dalam hutan. Upacara ini dilakukan di atas rumah.
Setelah sajian itu dijampi oleh pawang, dia akan melakukan upacara pancak penunggal pula dan semua peralatan dibawa ke halaman rumah. Orang yang akan meneroka atau yang akan masuk ke hutan pula akan diberi pinang sepiak, iaitu pinang yang telah dijampi. Segala peralatan tersebut kemudiannya diletakkan pada suatu tempat khas, iaitu pada pangkal pokok atau sebagainya, kecuali sebiji limau nipis yang akan diambil oleh pawang.
Limau yang telah diambil oleh pawang tersebut akan diberikan kepada orang yang akan ke hutan sebagai ‘pengeras semangat’. Kononnya syaitan takut kepada bau limau itu.
PANTANG LARANG SEMASA DI HUTAN
Terdapat beberapa petua yang patut menjadi ingatan kepada mereka yang akan ke hutan. Di antara pantang larang tersebut adalah seperti petua semasa mula turun ke hutan, bersiul semasa dalam perjalanan, melaung ketika berada di hutan, berburu binatang dan tidur di atas pokok.

PERMULAAN TURUN KE HUTAN
Andainya seseorang yang baru turun dari rumah untuk ke hutan tiba-tiba dilintasi ular dalam perjalanannya, maka dipercayai ini merupakan suatu petanda yang tidak baik. Orang tersebut haruslah naik semula ke atas rumah dan mengambil pinang sepiak dan memakannya kemudian barulah turun semula untuk meneruskan perjalanan.
Turun tangga haruslah dengan langkah kaki kanan. Sebelum turun didahului dengan bacaan Bismillahirrahmanirrahim. Mereka juga tidak boleh berpatah balik.
Bersiul Semasa Dalam Perjalanan
Bersiul semasa dalam perjalanan adalah ditegah. la dipercayai menjemput kedatangan ular. Bersiul di dalam hutan pula dilarang sama sekali kerana ini akan menarik perhatian berbagai jenis binatang buas. Apabila kehadiran orang yang memasuki hutan itu diketahui oleh binatang buas, dirinya berada dalam keadaan bahaya.
Melaung Semasa di Hutan
Perbuatan melaung di hutan juga ditegah. Melaung atau bercakap dengan kuat dipercayai akan menarik perhatian berbagai-bagai jenis jembalang serta binatang buas yang ada di dalam hutan.
Sekiranya orang yang masuk hutan itu melaung, maka laungan itu dipercayai akan disahut oleh jembalang dan andainya perkara seumpama ini terjadi, maka kejadian seperti sesat di hutan akan berlaku.
Berburu Binatang
Sekiranya tujuan seseorang ke hutan adalah untuk berburu, dia tidak boleh berpecah daripada kumpulan kawan-kawannya. Sekiranya dia berpecah juga, maka akan terjadi sesuatu yang tidak baik, misalnya tertembak rakan sendiri atau sebagainya. Mengikut kepercayaan, jembalang akan menyerupai wajah rakan seseorang dan wajah rakan itu pula akan menyerupai binatang yang hendak diburu. Sekiranya hal ini terjadi, maka malanglah bagi mereka yang pergi berburu di hutan itu.
Tidur di Atas Pokok
Mereka yang pergi ke hutan dilarang tidur di atas pokok. Jika berbuat demikian dipercayai mereka akan diganggu oleh jembalang terbang. Tujuan sebenarnya jika seseorang tidur di atas pokok, sukar baginya melarikan diri apabila berlaku sebarang musibah.